Thursday, August 18, 2011

Bahasa


Sistem dwibahasa ajar Matematik, Sains korbankan bahasa Melayu
Laporan Khas oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Basir Zahrom

2011/08/19

Negara maju masih terjemah ilmu ke bahasa ibunda

KEMENTERIAN Pelajaran tidak harus terperangkap dengan permintaan pihak tertentu yang masih menuntut pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Tindakan menjadikan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai pengantar yang setara di sekolah adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Jika kita membenarkan sistem dwibahasa di negara ini, akhirnya bahasa Melayu akan kalah pada peringkat global. - Shaharir Mohamad Zain, Bekas Profesor Matematik , Universiti Kebangsaan Malaysia
Pejuang bahasa beranggapan pelaksanaan dwibahasa dalam sistem persekolahan kebangsaan dengan memberi pilihan kepada sekolah tertentu menggunakan bahasa Inggeris akan melenyapkan kelangsungan bahasa Melayu pada peringkat global.

Namun, demi kepentingan murid yang bahasa ibundanya adalah bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa Melayu mereka sangat lemah sehingga menjejaskan pemahaman terhadap konsep Sains dan Matematik, sekolah di negara ini boleh menggunakan model di Amerika Syarikat (AS) atau Eropah.

Bekas Profesor Matematik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata Amerika Syarikat membenarkan guru sekolah rendah menggunakan bahasa ibunda seperti bahasa Sepanyol untuk menyampaikan kandungan mata pelajaran bagi beberapa tahun awal persekolahan sementara murid itu menguasai bahasa Inggeris.

Tetapi, katanya, bahasa Inggeris tetap bahasa rasmi sistem pendidikan di sekolah dan semua pelajar perlu menguasai bahasa itu selepas menamatkan persekolahan. 
“Perancis, Jerman atau negara maju lain di Eropah pula membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sehingga mereka menguasai bahasa itu hampir sama dengan penutur asal tetapi tidak sehingga menjadikan bahasa Inggeris setara dengan bahasa kebangsaan masing-masing.

“Jika kita membenarkan sistem dwibahasa di negara ini, akhirnya bahasa Melayu akan kalah pada peringkat global kerana hegemoni politik dunia Inggeris pada peringkat antarabangsa jauh lebih berkuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sekolah mungkin diberi pilihan menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik.

Muhyiddin berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah dimansuhkan pada 2009 dan diganti dengan program Memartabat Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) tetapi Kementerian Pelajaran masih mengkaji untuk memberi opsyen menggunakan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik.

Sebelum ini, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) meminta Kementerian Pelajaran membenarkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menentukan sendiri sama ada sekolah masing-masing mahu kembali kepada PPSMI.

Shaharir yang kini bertugas di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, berkata kajian oleh Kementerian Pelajaran itu menunjukkan pihak berkuasa masih bersikap berdolak-dalik dalam isu PPSMI dan mahu memenuhi permintaan PAGE.

Beliau menyifatkan pihak yang meminta PPSMI dihidupkan semula sebagai cendekiawan dan pemimpin terpasung atau ‘komprador’.

Katanya, PIBG ditubuhkan untuk memajukan pendidikan sekolah mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan, bukan menentukan dasar pendidikan khususnya bahasa pengantar atau kurikulum.

Beliau berkata, jika PIBG dibenar menentukan dasar bahasa, mudahlah akhirnya semua sekolah ‘diinggeriskan’ seperti di negara bekas jajahan yang sudah merdeka seperti Singapura, Timor Leste, Papua New Guinea, Filipina, India dan beberapa negara di Afrika.

“Pemimpin dan cendekiawan negara ini tentunya terlepas hati budinya makna kemerdekaan sesebuah negara daripada penjajahnya.

“Bahagian yang tidak boleh diremehkan ialah pemerdekaan sistem pendidikan negara daripada penjajah itu.

“Ini bertujuan memerdekakan hati budi rakyat terbanyak negaranya itu, khususnya meminimumkan golongan pemimpin dan cendekiawan yang tidak berjiwa kewatanan dan keperibumian itu yang diistilahkan sebagai jiwa terpasung atau jiwa komprador,” katanya.

Dari sudut kepentingan minoriti, Shaharir berkata, walaupun bahasa Melayu bukan bahasa ibunda kepada suku kaum seperti Iban, Kadazan, Bajau atau Orang Asli, bahasa itu dari keluarga yang sama, iaitu rumpun Austronesia/Malayonesia.

Katanya, bahasa Melayu adalah yang paling dekat dengan jiwa mereka selepas bahasa suku kaumnya sendiri.

“Bahasa Inggeris tiada kena mengena dengan jiwa suku kaum ini dan oleh itu pelaksanaan semula PPSMI kepada suku kaum ini adalah suatu bentuk kezaliman,” katanya. 

Antara alasan yang diberikan untuk meminta kebenaran supaya PIBG diberi hak menentukan pelaksanaan semula PPSMI di sekolah masing-masing ialah bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda kepada beribu-ribu murid.

Persatuan Penulis Nasional (PENA) antara pertubuhan bukan kerajaan yang lantang menentang PPSMI sebelum ini berkata, keadaan itu boleh bertukar kepada tragedi jika mereka hanya menguasai bahasa Inggeris dan tidak tahu berbahasa Melayu sedangkan negara mempunyai hak untuk mewajibkan warga negara berbahasa Melayu.

Presidennya, Saleeh Rahamad, berkata Perlembagaan Persekutuan sudah memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

“Jika Perlembagaan hanya dianggap perhiasan dan bukannya satu monumen jati diri yang bersifat perundangan, warga negara yang sedemikian sepatutnya dilucutkan taraf kerakyatan,” katanya.

PAGE sebelum ini juga memberi alasan bahasa Melayu tidak mampu mengejar kepesatan Sains dan Matematik kini walaupun ada usaha terjemahan. Jalan penyelesaiannya ialah belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Shaharir berkata, sebenarnya negara maju juga masih menterjemah bahan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dengan hebatnya.

Beliau berkata, Amerika Syarikat umpamanya melakukan banyak terjemahan daripada bahasa lain di Eropah, bahkan dari China, Korea Selatan dan Jepun. Begitu jugalah sebaliknya.

Dari segi perkembangan ilmu, katanya, tidak benar perubahan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris begitu pantas sehingga tidak akan terkejar sesuatu bangsa yang tidak berbahasa Inggeris untuk menterjemah.

“Teori baru Sains atau Matematik memakan masa sekurang-kurangnya 30 tahun untuk dijadikan bahan sukatan pelajaran sekolah atau universiti.

“Kedua, perkembangan Sains dan Matematik tidak hanya berlaku menerusi bahasa Inggeris saja, bahkan ahli Sains dan Matematik berbahasa Inggeris masih melakukan terjemahan daripada bahasa lain,” katanya.

Shaharir berkata, negara ini juga mempunyai ahli Sains dan Matematik yang mencukupi untuk memindahkan ilmu sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Katanya, Kementerian Pelajaran patut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memanfaatkan kepakaran profesor dan pensyarah Sains dan Matematik di institusi pengajian tinggi di negara ini bagi membangunkan ilmu berkenaan pada semua peringkat.

Tuesday, August 16, 2011

Bahasa


Ramai pelajar lemah bahasa Melayu
Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my
2011/08/17

Isu kurang dibincang berbanding gagal kuasai bahasa Inggeris

PERSOALAN kegagalan penguasaan bahasa Inggeris yang baik oleh kebanyakan pelajar Malaysia selepas 13 tahun mempelajarinya, ikut mencetuskan pelbagai soalan, selain mengundang banyak komen. Ada yang menyoal keberkesanan kurikulum bahasa Inggeris sedia ada, kesesuaian dasar baru untuk memartabatkan bahasa Melayu, memperkukuh bahasa Inggeris dan kebijaksanaan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada awal tahun ini.
Ada juga yang mencadangkan pengembalian sekolah aliran Inggeris, menyalahkan guru yang dikatakan tidak cekap, mengaitkan sikap negatif pelajar dengan pen-capaian yang lemah dan menuduh Kementerian Pelajaran enggan mewajibkan kelulusan mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Kita boleh terus menyoal dan mengulas persoalan ini, lebih-lebih lagi untuk mempromosikan bahasa Inggeris. Sebetulnya pada masa sama, kebanyakan pelajar kita termasuk Melayu sendiri, apatah lagi yang bukan Melayu juga tidak menguasai bahasa Melayu iaitu bahasa negara ini dengan baik. Namun, hal ini tidak banyak diperkata dan kalau cuba diperkata, ia tidak mendapat sambutan serta tempat untuk dibincangkan dengan rinci. 

Ikut bersikap begini ialah pihak media, antaranya akhbar bukan bahasa Melayu yang kurang bersedia untuk memberi liputan adil mengenai bahasa ini. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa leluhur, etnik dan ibunda orang Melayu, dianggap sebagai kualiti bangsa Melayu. Justeru, ia adalah tanggungjawab dan kewajipan bangsa Melayu saja. 

Dalam kes bahasa Melayu di Malaysia, ideologi begini adalah salah. Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa negara, yakni sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Sehubungan ini, martabatnya hendaklah dipertahan setiap masa oleh semua warga negara. 

Sebenarnya, persoalan ketiadaan kecekapan berbahasa Inggeris, pengetahuan dan penguasaan rendah terhadap bahasa Melayu, termasuk kegagalan memahami sejarah tanah air oleh kebanyakan pelajar antara tanda dan gejala kemerosotan sistem pendidikan kita. Hal ini dapat dilihat pada bahkan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang. 
Kebanyakan mereka tidak mampu menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris, tidak cekap berbahasa Melayu persuratan ketika bercakap dalam situasi formal, dan tidak memahami hubung kait peristiwa lampau negara yang penting dengan masa kini baik dalam konteks tempatan mahupun sejagat. 

Kelemahan sistem pendidikan kita disedari kerajaan dan sedang dikaji semula untuk diperbaiki. 
Dalam konteks kecekapan berbahasa Inggeris, kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa kecekapan yang bakal generasi muda kita peroleh, mungkin tidak dapat menandingi tahap yang diperlihatkan golongan lama. Ini antaranya adalah pada masa dulu, bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar, manakala kini ia hanya satu mata pelajaran.

Walaupun begitu, dengan penekanan serius kerajaan melalui pelbagai usaha pendidikan untuk memastikan generasi muda cekap berbahasa antarabangsa yang paling penting ini, golongan ini dengan sikap belajar yang betul serta bimbingan dedikasi guru, pasti memperlihat kecekapan yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang. 

Dalam pada kita berikhtiar untuk menguasai bahasa Inggeris pada tahap baik, kita tidak boleh sekali-kali mengetepikan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan. Pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik oleh rakyat Malaysia bukan saja penting, tetapi wajib. 

Bahasa Melayu adalah maruah dan citra, selain jati diri bangsa dan negara. Maruah bahasa Melayu terletak pada martabatnya. Oleh itu, ia perlu diperlakukan dengan penuh tertib, sesuai dengan syiarnya sebagai bahasa utama di negara ini. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah selalu diutamakan dan tidak boleh diketepikan dalam sebarang ranah penggunaan yang sememangnya menjadi hak dan kuasanya.

Perilaku kita semua terhadap bahasa Melayu, khususnya yang bertentangan dengan syiarnya, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai tanggapan. Oleh itu, tindakan yang boleh merendahkan citra bahasa Melayu hendaklah dihindari kerana ia boleh ikut merendahkan citra kita semua sebagai bangsa berharga diri dan negara berdaulat.

Sesungguhnya dalam bahasa Melayu tersimpan nilai, salasilah serta akar kita sebagai bangsa Malaysia. Dengan ini, hanya bahasa Melayu mampu memberi capaian langsung kepada warisan budaya serta pandangan dunia kita sebagai bangsa Malaysia, untuk melengkapi dan juga menolak perspektif yang disaji oleh tamadun lain. 

Bahasa Melayu juga satu-satunya warisan budaya yang dengan penuh keyakinan dan pengertian, boleh bukan saja mempertahan tetapi menjamin kemuliaan kita sebagai satu bangsa bermaruah dan negara yang berdaulat di dunia ini.

Tuesday, May 17, 2011

Bahasa


'Siapa kata tak boleh'
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
2011/05/18

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa berkemungkinan acara antarabangsa yang dianjurkan Malaysia akan dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada masa depan mendapat reaksi positif pelbagai pihak. 

Malah, mereka berpendapat kebimbangan mengenai ketiadaan kemudahan logistik seperti bahan terjemahan untuk peserta dari negara luar yang menghadiri acara berkenaan seperti disuarakan Muhyiddin, hakikatnya boleh diatasi.
Pengarah Urusannya, Mohd Khair Ngadiron berkata, ITNM tiada masalah mendapatkan khidmat jurubahasa yang berkemampuan menterjemahkan pelbagai bahasa termasuk menggunakan khidmat pelajar Malaysia yang sedang menuntut di luar negara. 

“Pengendalian majlis antarabangsa dalam bahasa Melayu sepenuhnya boleh dan pernah dilaksanakan pada majlis pelancaran terjemahan novel, Nyawa di Hujung Pedang, di Kota Buku Paju, Korea Selatan pada Mei tahun lalu. 

“ITNM menyokong pelaksanaan perkara ini kerana ia adalah langkah yang baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi. 

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani pula berpendapat, pelaksanaan perkara berkenaan mungkin akan menimbulkan perasaan janggal pada mulanya, tetapi ia ada dilakukan di negara lain. 
“Keadaan itu adalah suatu yang amat lumrah di negara luar yang sememangnya memberi penghormatan tinggi terhadap bahasa negara sendiri seperti di Perancis, Russia, China, Korea, Jepun dan Indonesia,” katanya. 

Kamal berharap pelaksanaan majlis dalam bahasa Melayu bukan saja membabitkan dalam ucapan alu-aluan, tetapi juga ucaptama dan semua kertas kerja dengan menyediakan khidmat terjemahan serentak. 

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz pula melihat sudah tiba masanya Malaysia mempraktikkan perkara berkenaan kerana ia sudah lama dilakukan negara lain bagi memperkasakan bahasa mereka. 

“Peranan ITNM boleh dimanfaatkan bagi melaksanakan perkara ini kerana institut berkenaan bukan hanya boleh menterjemahkan sesebuah buku, malahan menyediakan khidmat penterjemahan bahasa asing. 

“DBP akan memberi sokongan bagi melaksanakan perkara ini dengan melakukan usaha berterusan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia mahupun warga asing,” katanya. 


Wednesday, May 4, 2011

Sosial


Saturday April 30, 2011 Star online

Reversing the brain drain

A QUESTION OF BUSINESS
By P. GUNASEGARAM


Unless Malaysia succeeds in developing, retaining and attracting talent, its cherished dream of attaining high income by 2020 may be dashed to bits.
PROBABLY for the first time ever we have had substantial facts and figures on Malaysia’s brain drain – and it has taken the World Bank to come out with this (see our cover story this issue).
The World Bank simply defines brain drain as the migration of talent across borders. It is instructive what it says.
“For Malaysia to stand (sic) success in its journey to high income, it will need to develop, attract and retain talent. Brain drain does not appear to square with this objective: Malaysia needs talent but talent seems to be leaving,” the World Bank said in its report on Malaysia. Let’s look at some of the figures as a gauge of the seriousness of the problem. The worldwide Malaysian diaspora is conservatively estimated at one million in 2010, quadrupling over the last three decades.
Singapore alone accounts for 57% of this with the rest dispersed mainly through Australia, Brunei, Britain and the United States. Ethnic Chinese account for nearly 90% of the diaspora in Singapore and are similarly over-represented in other developed countries. And here’s one frightening statistic: “One out of 10 Malaysians with a tertiary degree migrated in 2000 to an OECD (the club of rich countries, but which does not include Singapore) country – this is twice the world average and including Singapore would make this two out of 10.
”In other words, it is very likely that 20% of our best graduates end up in other countries. The reasons why they leave are also instructive: 66% cited career prospects, 60% social injustice and 54% compensation.
The situation is serious and as Malaysia is wont to do under such circumstances, it is resorting to ad hoc measures such as tax rebates on those returning and a corporation to attract talent into the country.
These will only chip away at the massive outcrops of declining educational standards, a badly implemented social restructuring policy, a poor system of rewards and the unwillingness to move away from low labour costs to high value-added manufacturing and services amongst others. The changes that are needed are deeply structural. First, everything possible has to be put into raising educational standards to improve the quality of those entering the workforce. South Korea had one third Malaysia’s per capita income in 1970 but now it is three times Malaysia’s. Such change would not have been possible without a super educational system at every level.
Developing talent at every level simply has to start with education and we have to put the best talents, facilities and other resources into this. Right now only the most dedicated or those who don’t have other choices go into teaching because it is neither rewarding nor respected as a profession.
Next we need social re-engineering to gear towards giving equal opportunities for advancement instead of a premature equalisation of outcomes whether in terms of wealth ownership or employment creation.
Otherwise the ultimate result might be plain mediocrity and creating a small class of privileged wealthy who have done little or nothing to deserve their wealth. Otherwise too, the talented who get little or nothing face despair and look elsewhere for their rewards.
Then we need too the unfettered opportunities, entrepreneurship and incentive for talent to flourish and to be adequately rewarded. We can’t continue to base our competitiveness on low wages and costs. In this respect, a weak currency and its attendant poor purchasing power is a sure way to chase talent out of the country.
That’s how we can retain talent and attract it too, realising that we must be open and free to import the best the world has to offer in terms of people, goods and services at the best prices. For these things to happen and be sustained what we need is honest policy and implementation untainted by corruption so that the most can be done with the resources at our disposal instead of frittering these away through all sorts of leakages in the system. It is no accident that the least corrupt countries are often the most developed and have the highest income.
If there is a lesson from the World Bank report, it is that we must return to the basics and work ourselves up from there. There is no shortcut, but once critical mass is reached progress grows in leaps and bounds.
Managing editor P Gunasegaram believes that an uncompromising stand towards excellent and quality education bereft of political and other pressures will do more towards a high income Malaysia than almost anything else.

Saturday, April 30, 2011

Ekonomi/Sosial


Sejuta rakyat kita berhijrah ke luar negara



BANK Dunia kelmarin menyatakan terdapat sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Tentu sekali angka ini jauh lebih tinggi daripada apa yang kita pernah diberitahu iaitu antara 300,000 sehingga 500,000 sahaja.
Brain drain memang suatu fenomena yang menjadi kebimbangan kepada kerajaan kerana ia melibatkan beberapa perkara.
Pertama, tentu sekali dalam usaha kita untuk meningkatkan tahap tenaga kerja berkemahiran supaya kita sebagai sebuah negara dapat beralih ke rantai nilai teknologi dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih tinggi dan canggih.
Kita ketinggalan dalam menarik pelaburan langsung asing walaupun pada 2010, pelaburan yang kita terima sebanyak AS$9 bilion lebih baik daripada AS$1.4 bilion yang kita terima pada 2009.
Perbezaan angka dengan negara jiran kita begitu jauh berbeza. Kita hakikatnya tidak mampu menampung pelabur yang membawa masuk teknologi yang memerlukan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan pelbagai peralatan, jentera dan perisian.
Apa yang penting ialah kita menyedari keadaan kita ini. Kita menyedari yang kita ditinggalkan oleh jiran-jiran yang pada suatu masa dulu sama setanding dengan kita.
Di antara usaha yang menunjukkan kita melakukan sesuatu adalah mengiktiraf perlunya kita memberikan tumpuan yang sama kepada sekolah-sekolah vokasional dan teknikal. Bilangan yang disalurkan ke arah sekolah jenis ini dapat ditingkatkan daripada 10 peratus mungkin kepada 30 peratus atau 40 peratus.
Mungkin untuk membantu kita dari segi tenaga pengajar kita boleh mendapat bantuan daripada negara seperti Korea Selatan dan Jepun atau negara-negara Eropah seperti Belanda dan negara sebelah sini seperti Australia.
Suatu lagi langkah yang telah pun diumumkan dan ditubuhkan untuk melihat pengaliran keluar mereka yang mahir ini ialah Perbadanan Bakat. Kita percaya perbadanan ini perlulah mengenal pasti pelbagai sebab kenapa seseorang rakyat Malaysia itu sanggup berhijrah ke negara lain.
Perbezaan gaji dan faedah yang tinggi antara bekerja di luar negara dan di negara ini mungkin suatu tarikan tetapi banyak lagi perkara lain yang mungkin dijadikan sebab penghijrahan.
Antara yang disebut-sebut oleh kawan mereka yang berhijrah ialah sistem pendidikan kita yang kepada sesetengah orang menganggap tidak sesuai untuk anak-anak mereka.
Kepada mereka yang menggunakan ini sebagai alasan untuk berhijrah tak mampulah kita hendak menarik mereka balik kecuali kita sanggup mengubah beberapa perkara seperti keutamaan kepada bahasa Inggeris.
Memang tidak dapat kita nafikan suasana di tempat kerja antara negara luar dan negara kita berbeza, misalnya dari segi peluang untuk kenaikan pangkat, imbuhan dan lebih-lebih lagi pengiktirafan pihak majikan yang kadangkala dikatakan bersifat diskriminasi.
Peluang kerjaya masa depan yang tidak jelas dalam syarikat-syarikat kadangkala menjadi perangsang kepada pekerja untuk bekerja di negara lain yang mana prestasi diberikan pengiktirafan.
Tidak hairan juga kalau kemahiran yang dimiliki oleh seseorang itu tidak dapat digunakan di negara ini misalnya dalam bidang kedoktoran kerana pengkhususannya begitu canggih, atau kalau boleh digunakan di luar negara lebih diiktiraf dari segi pembayaran gaji dan kemudahan dan sebagainya.
Kita percaya Perbadanan Bakat akan mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu berhijrah supaya kita tidak memujuk balik yang tidak lagi berminat untuk sama-sama menyumbang ke arah hasrat kita untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
Sesiapa yang diberikan tanggungjawab mengenal pasti mereka yang layak perlu melihat daripada pelbagai dimensi; betul-betul tidak berat sebelah atau mengorbankan sesuatu proses pemilihan yang telah ditetapkan dan terpengaruh dan unsur-unsur yang kurang sihat.

DATUK SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Kesihatan


Ibu bapa abai menu sihat punca anak gemuk
Oleh Kadir Dikoh
kadiro@bharian.com.my
2011/04/30

Kekangan masa jadikan makanan segera sajian utama di rumah 

SEORANG menteri Kabinet pernah mengadu mengenai kerenah anaknya yang ‘mengada-ngada’, mengeluh apabila pendingin hawa kereta rosak dalam perjalanan balik dari sekolah, bersama pemandunya. Menteri terbabit pada mulanya rasa cemas apabila mendapati banyak panggilan telefon anaknya tetapi gagal dijawab kerana telefon bimbit dimatikan ketika sedang menghadiri mesyuarat di pejabat.
“Saya terpaksa keluar dari bilik mesyuarat untuk membuat panggilan dan terkejut, alasan anak saya membuat panggilan ‘kecemasan’ ialah kerana kepanasan dalam kereta, sedangkan pemandu saya dah beritahu akan menghantar kereta ke bengkel selepas menghantar anak saya ke rumah,” katanya.
Itulah hakikatnya dan itulah juga senario zaman sekarang kerana anak-anak sudah berasa selesa hidup dalam keadaan kemewahan, bukan seperti zaman ayah atau datuk, nenek mereka dulu. 

Malah, kesibukan ibu bapa terutama apabila kedua-duanya bekerja juga menyebabkan anak ‘dididik’ untuk makan di luar termasuk membeli nasi bungkus dan nasi lemak. Burger dan hotdog juga menjadi kegemaran selain nuget dan minuman dalam tin, turut disediakan di dalam peti sejuk untuk makanan anak, takut kelaparan bila balik dari sekolah. 

Pada hujung minggu, dibawa pula anak ke restoran makanan segera seperti KFC dan McDonalds’, untuk memenuhi kehendak anak semata-mata selain kegemaran menjamah nasi lemak yang bagaikan satu kewajipan terutama bagi orang Melayu. 

Apakah benar kata orang, didikan manja dari segi makanan di rumah inilah menjadi puncanya murid lebih cenderung untuk mengambil makanan yang tidak sihat di kantin sekolah? Apakah benar kata orang, jika murid tidak suka makan sayur dan buah-buahan di sekolah, maknanya dia tidak diasuh untuk makan makanan berkhasiat seperti itu di rumah?
Peningkatan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar dengan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002-2008 menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak mengalami obesiti. Kajian universiti sama juga menunjukkan, 88.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman yang disajikan di kantin sekolah, sekali gus meningkatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan makanan sihat dijual di sekolah. 

Turut dicadangkan ialah supaya Indeks Jisim Badan (BMI) wajib direkodkan dalam kad laporan prestasi pelajar berbanding amalan sebelum ini yang hanya mengkehendaki guru merekodkan berat dan ketinggian pelajar. 

Berikutan itu, makanan diproses seperti burger, hotdog dan nuget serta teh dan kopi adalah antara 15 jenis makanan 'tidak sihat' yang dilarang dijual di semua kantin sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai bulan depan. Makanan lain ialah mi segera, gula-gula dan coklat, konfeksi ais dan aiskrim, makanan jeruk, makanan mengandungi pewarna serta perisa tiruan, minuman berkarbonat dan jajan. Larangan itu berdasarkan Garis Panduan Pemakanan Sihat Di Sekolah yang diputuskan Kementerian Kesihatan. 

Bagaimanapun, ada 70 jenis makanan, termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu, disenaraikan sebagai makanan yang boleh dijual mengikut garis panduan baru yang dirangka bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) dan diabetes di kalangan pelajar. 

Begitu pun, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung menu makanan berkhasiat yang sesuai dijual di kantin sekolah termasuk nasi lemak secara bergilir kerana belum ada perbincangan dengan semua pihak berkaitan setakat ini. Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan tidak akan membuat keputusan mendadak sehingga menyusahkan banyak pihak termasuk pengusaha kantin, sebaliknya mengambil kira pelbagai aspek dan akan memberi masa berpatutan kepada pengusaha mengubah suai menu mereka. 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama 15 badan bukan kerajaan (NGO) pula mahu Kementerian Kesihatan menarik semula keputusan menetapkan jualan nasi lemak dua kali seminggu mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan. 

Sebenarnya, peranan untuk mengelakkan kegemukan pelajar sekolah tidak harus terbatas kepada kantin atau pengurusan sekolah semata-mata. Sebaliknya, ia perlu dipikul bersama termasuk pakar pemakanan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi nasihat kepada pelajar serta keluarga mengenai menu seimbang. 

Sekolah cuma sebahagian masa mereka di situ kerana banyak masa diluangkan di luar sekolah dan menjadi tanggungjawab keluarga membimbing anak mereka supaya tidak mengambil makanan terlalu berlemak dan kandungan zat kurang. 

Apabila meneliti maklum balas daripada pelayar versi online akhbar ini mengenai jualan nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya kepada dua kali seminggu di kantin sekolah, mereka bagaikan berbelah-bahagi. Misalnya, bagi jawapan ‘Wajar kerana pelajar akan memakannya setiap hari’ dipersetujui sekitar 25.3 peratus atau 1,626 pelayar manakala jawapan ‘Tidak wajar kerana bukan setiap hari pelajar memakannya’ menerima respons 31.28 peratus atau 2,005 pelayar. Jawapan ‘Wajar kerana ia punca obesiti’ dipersetujui 13.25 peratus (849 pelayar) dan jawapan ‘Tidak wajar kerana ia bukan punca obesiti’ dipersetujui 30 peratus (1,929), sehingga tengah hari semalam. 

Ini bermakna, majoriti tidak bersetuju dan mereka berpendapat adalah tidak wajar 70 jenis makanan termasuk nasi lemak dihadkan kekerapan jualannya di kantin sekolah. 

Pakar pemakanan UKM, Prof Dr Mohd Ismail Mohd Noor, berkata obesiti sebenarnya disebabkan pelbagai punca makanan, namun peraturan baru itu permulaan baik dalam memastikan pelajar mendapat makanan sihat dan seimbang di sekolah sebelum ibu bapa memainkan peranan di rumah dengan memastikan amalan baik diteruskan. 

Pelajar adalah ibarat kain putih yang boleh diwarnai. Mereka akan makan apa saja yang kena dengan selera tanpa mengira sama ada makanan berkenaan berkhasiat atau tidak. Di sinilah peranan guru untuk mendidik dengan teori amalan makanan sihat dan di rumah pula, ibu bapa mengamalkannya untuk hidangan anak.



Thursday, April 21, 2011

Sosial


Minda Pengarang: Perubahan sikap, minda jayakan Malaysia Inovatif


2011/04/21

ISTILAH inovasi atau reka cipta bukan lagi perkara baru. Ia sudah banyak diterapkan pada sektor industri, perkhidmatan awam, institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah. Cuma, pelaksanaan dan sasaran meningkatkan program inovasi tidak menyerlah dan kurang berkesan. Inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri terutama membabitkan sektor awam dan IPT tidak menunjukkan kejayaan memberangsangkan. Kebanyakan hasil R&D hanya tinggal di atas kertas atau sekadar menerima anugerah tertinggi pada peringkat antarabangsa, tetapi tidak mendapat nilai komersial sewajarnya. 

Kita yakin pengumuman 23 inisiatif oleh Datuk Seri Najib Razak bagi menjana kekayaan baru dan kesejahteraan rakyat melalui inovasi dapat memberi nafas baru kepada bidang reka cipta, seterusnya menjana pendapatan kepada negara. Perdana Menteri ketika menyampaikan taklimat media berkaitan Inisiatif Penjanaan Kekayaan Baru dan Pembangunan Ekosistem Negara Unit Inovasi Khas (UNIK) kelmarin, menyifatkan pengumuman itu sebagai Pelancaran Inovasi yang bertepatan dengan visi menjadikan negara sebagai Malaysia Inovatif.


Inisiatif itu masing-masing membabitkan lima projek pewujudan kekayaan dengan mencungkil khazanah negara, lapan projek universiti awam daripada Pencarian Harta Intelek serta 10 projek inovasi ekosistem. Pengumuman itu juga selari dengan matlamat kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menggunakan inovasi sebagai asas membina Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dan selepasnya. Dianggarkan keseluruhan saiz pasaran global projek inovasi ketika ini bernilai RM316 bilion.
Jumlah ini bukanlah kecil. Adalah amat merugikan jika kita tidak mengambil bahagian dan peluang meraih keuntungan daripada projek seumpamanya. Kita percaya melalui inisiatif itu, ia bukan saja dapat menjana pulangan lumayan kepada negara, malah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan pada masa sama meningkatkan kreativiti serta pemikiran inovatif dalam pelbagai bidang.

Kita yakin dengan inisiatif ini, kumpulan penyelidik pada setiap peringkat akan meningkatkan kualiti penyelidikan masing-masing kerana mereka sedar inovasi yang terbaik sudah pasti mendapat tempat dan pengiktirafan sama ada daripada pihak kerajaan, individu mahupun industri. Kita berasa gembira apabila melalui inisiatif itu juga kerajaan mengenal pasti sejumlah 113 projek IPT awam yang berpotensi dikomersialkan dalam fasa pertama. 

Kita berharap lebih banyak lagi projek akan dikenal pasti, termasuk yang sebelum ini hanya dilihat sekadar kajian biasa, walaupun mempunyai nilai komersial yang tinggi. Inovasi adalah kemampuan untuk kita mencipta sesuatu yang hebat daripada bahan yang ada. Pada dasarnya inovasi tidak hanya berkaitan sains dan teknologi (S&T) atau mereka cipta peralatan baru, tetapi mempunyai erti lebih besar kerana ia bermaksud perubahan dalam meningkatkan kualiti kehidupan manusia sejagat. Apapun, cabaran paling besar bagi merealisasikan program inovasi di negara ini ialah untuk mengubah minda rakyat terhadap bidang ini dan sejauh mana mereka sanggup berubah. 

Oleh itu, semua sektor perlu memainkan peranan masing-masing sama ada kerajaan, industri dan pendidikan dalam menggerakkan negara menuju sebuah negara inovatif. Kita percaya hanya dengan perubahan sikap dan minda rakyat, usaha merealisasikan Malaysia Inovatif akan menjadi kenyataan.