Alam Sekitar

3.Royal Belum khazanah negara



KHAZANAH hutan Royal Belum yang merupakan hutan tertua di dunia mengatasi usia hutan Amazon dan Kongo.


SINARAN mentari yang menembusi permukaan Hutan Simpan Negeri Perak, Royal Belum selepas hujan mengindahkan lagi pemandangan hutan hujan tropika tertua, terbesar dan terkaya dengan kepelbagaian spesies yang masih kekal walaupun setelah berusia 130 juta tahun.
Panoramanya yang merentasi landskap seluas 117,500 hektar semakin menarik setelah penulis 'tenggelam' jauh ke dalam, sehingga tidak disangka waktu berlalu begitu pantas ketika merentasi belantara tersebut.
Jadi tidak hairanlah mengapa Sultan Perak, Raja Azlan Shah menganugerahkan taraf diraja kepada hutan berkenaan memandangkan lokasi tersebut amat indah dan sesuai untuk dijadikan lokasi pelbagai aktiviti riadah.
Kepenatan yang dirasai semasa perjalanan hilang begitu sahaja apabila tiba ke destinasi, lebih-lebih lagi setelah terpandang kawasan lubuk Sungai Laho yang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar.
Berbeza dengan lokasi lubuk yang lain, Sungai Laho amat jernih airnya sehingga menampakkan segala isi perut sungai berkenaan seperti batu-batu sungai dan anak-anak ikan yang bermain di tepi tebing.
Suasana tersebut menyemarakkan lagi semangat kami untuk memulakan aktiviti memancing.
Matlamat kumpulan kami yang berjumlah 29 orang dengan iringan pemandu pelancong, Samsul Anuar Sanusi, adalah untuk menjejak lubuk ikan air tawar yang telah lama diidamkan terutamanya ikan kelah di kawasan utara Hutan Simpan Temenggor itu kini menjadi realiti.
Bagaimanapun untuk ke sana tidak semudah yang disangka kerana kami perlu mengharungi perjalanan selama lima jam dari Jeti Tapak Perkemahan Sungai Kejar melalui Sungai Ketir, Berting dan Sanghur untuk ke kawasan Sungai Laho.
Jika masih mampu berjalan lagi dua jam maka pengunjung akan tiba ke kampung lama di Kebeng yang terkenal sebagai kawasan simpanan gajah liar.
Di sana, pengunjung boleh melihat tapak perkampungan orang Melayu dahulu kala dan antara peninggalan yang terdapat di sana seperti dusun buah-buahan, bendang dan tapak perkuburan lama.
Lubuk kaki pancing
Dengan ciri-ciri yang luar biasa itu, Royal Belum bukanlah destinasi pelancongan biasa. Ia lebih tepat dianggap lokasi lubuk idaman buat kaki pancing dan pencinta alam mengenal diri dan menghayati keagungan ciptaan Allah.
Pada pandangan penulis, setelah melabuhkan tirai di Sungai Laho, destinasi itu merupakan lokasi mutakhir yang wajib dilawati buat kaki pancing dan mereka yang mencintai alam semula jadi.
Tetapi jika anda bukan jenis yang tahan lasak dan takut kepada pacat serta serangga eksotik pelbagai warna dan rupa, maka rimba Royal Belum bukanlah destinasi pilihan lebih-lebih lagi buat mereka yang tidak boleh lekang dengan tilam empuk, televisyen skrin leper dan bilik tidur berhawa dingin di rumah.
Ini kerana, untuk tiba ke sana, anda sudah pasti diancam dengan serangan pacat dan pelbagai macam serangga termasuk haiwan liar.
Pendek kata, anda perlu meredah hutan belantara yang tebal, turun naik bukit, mengharungi sungai deras ataupun berbatu dan bakal ditemani kegelapan serta bunyi-bunyi rimba penuh mistik.
Menurut pemandu pelancong, Samsul, 35, sungai Royal Belum sesuai dijadikan lokasi buat mereka yang berminat dengan aktiviti memancing.
"Kebanyakan kaki pancing mula menjejak ikan air tawar di sini bermula pada bulan Januari hingga Oktober, manakala untuk menjejak ikan kelah pula waktu paling sesuai ialah pada bulan Ogos hingga Disember.
"Antara spesies ikan yang terdapat di Royal Belum ialah seperti ikan kelah, sebarau, baung, badong, temoleh, tengalan, tengas, kejor dan toman.
"Lagi jauh anda merentasi hutan maka saiz ikan yang terdapat di sini juga semakin besar lebih-lebih lagi jika memancing di Kebeng.
"Di Kuala Tasik Banding, saiz ikan kebiasaannya di sana hanya sekilo hingga dua kilogram tetapi di Sungai Ketir hingga ke Kebeng, saiz ikan yang terdapat di sana melebihi empat kilogram ke atas," katanya.
Menurutnya, selain spesies ikan air tawar, Royal Belum juga kaya dengan pelbagai spesies hidupan liar seperti gajah, kijang, rusa, seladang, pelanduk, tapir, harimau dan badak.
Bagaimanapun, Samsul berkata, haiwan-haiwan tersebut tidak mengganggu manusia selagi ia tidak diancam.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej yang disediakan di Royal Belum sila layariwww.bandingtravel@blogsport.com.




2. Teknologi hijau lindungi alam sekitar

CUACA yang tidak menentu, hujan, ribut, taufan, kemarau dan gempa bumi sering dikaitkan dengan pemanasan global.
Malah tidak keterlaluan apabila bumi dikatakan mempunyai masa 12 tahun saja sebelum ais di Kutub Utara dan Selatan mencair seluruhnya.
Jika pembebasan gas karbon dioksida (CO2) tidak dapat dikawal sehingga boleh mencapai 450 bahagian per sejuta (bpj), bumi bakal dilanda malapetaka yang dahsyat.
Buat masa ini, pembebasan CO2 adalah sekitar 392 bpj manakala bumi hanya boleh menampung hanya 350 bpj yang boleh dikatakan tahap selamat.
"Kebanyakan saintis termasuk saintis NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan), James Hansen bersetuju angka 350 bpj CO2 merupakan paras selamat bagi bumi serta kehidupannya," kata pakar Teknologi Hijau dari Universiti Mahidol, Thailand, Profesor Dr. Chirapol Sintunawa.
Kesan pemanasan global dapat dilihat apabila suhu dunia meningkat dua darjah Celcius pada 450 bpj yang menyebabkan ais di Kutub semakin mencair.
"Kita perlu bertindak sekarang bagi mengurangkan pembebasan CO2 dan melindungi alam sekitar.
"Sebagai ahli masyarakat, kita perlu mula mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang boleh menyumbang ke arah gas rumah hijau," katanya yang juga seorang pakar konservasi alam sekitar dan tenaga.
Sehingga kini beliau telah berjaya memberikan kesedaran mengenai alam sekitar kepada masyarakat negara berkenaan.
Kajian yang dijalankan oleh Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) menunjukkan kandungan gas CO2 pada 392.04 bpj pada Jun tahun ini berbanding 389.43 bpj pada 2009 dan 387.88 pada 2008.
Justeru apa yang perlu kita lakukan?
Dr. Chirapol menegaskan segalanya perlu bermula dengan perkara remeh-temeh di peringkat kanak-kanak dan pelajar sebelum ke lebih tinggi.
Tidak keterlaluan jika dikatakan beliau berjaya menyatukan 14 juta rakyat Thailand memadamkan lampu yang tidak digunakan di rumah secara serentak.
"Walaupun hanya lima minit, ini menunjukkan penggunaan elektrik turun sebanyak 700 megawatt (MW) bersamaan dengan kuasa yang dihasilkan oleh satu daripada 14 janakuasa elektrik seluruh Thailand," katanya.
Apa yang kita lakukan untuk menyelamatkan bumi? soal Dr. Chirapol.
"Saya mulakan di universiti tempat saya mengajar.
"Di universiti tempat saya mengajar merupakan kampus basikal di mana basikal disediakan bagi kegunaan pelajar serta kakitangan.
"Basikal bukan saja tidak membebaskan CO2 malah menyihatkan badan dan menjimatkan wang kerana kita tidak perlu mengeluarkan wang membeli petrol," katanya.
Malah beliau juga berjaya 'mengubah' industri perhotelan dengan kerjasama Greenleaf Foundation ke arah mesra alam dengan pengenalan sistem rating yang dinamakan Green Leaf Standard.
Mengambil contoh hotel yang menggunakan cadar putih, beliau berkata apa kata warna berkenaan diubah kepada warna yang lebih ceria.
"Warna putih memerlukan air, sabun dan peluntur untuk mencuci dan kenapa kita tidak menggunakan warna yang lain," katanya.
Hotel di Thailand juga menggunakan air kitar semula dan air hujan bagi hampir semua keperluan kecuali untuk minuman dan mandi.
Dr. Chirapol berkata, segalanya perlu bermula daripada diri sendiri yang mahu menyelamatkan dunia bagi generasi akan datang.


1. Dalam masa 5 hari sampah Malaysia sebesar Perlis!

Utusan Malaysia 23/1/2011

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Mungkin ramai yang terkejut apabila membaca tajuk di atas, namun itulah dilema yang dialami negara ini. Sampah yang dihasilkan dalam tempoh lima hari sahaja boleh menutupi seluruh negeri di utara tanah air itu jika ia dikumpul dan diratakan.
Dalam setahun pula, bukan sahaja boleh memenuhi negeri Pahang bahkan juga separuh daripada keluasan Semenanjung Malaysia.
Ia adalah hasil yang 'disumbangkan' oleh penduduk negara yang berjumlah kira-kira 28 juta orang ketika ini.
'Sumbangan' tersebut membabitkan 30,000 tan sampah yang dibuang oleh isi rumah sehari atau 10,950,000 tan sampah dalam setahun.
Jumlah itu bersamaan dengan meletakkan sebanyak 30,000 lori berkapasiti satu tan di jalan raya sepanjang 90 kilometer sehari atau sejauh 32,850 kilometer selama setahun.
Jika setiap lori satu tan dianggarkan mempunyai panjang tiga meter dan lebar adalah dua meter maka luas lori tersebut adalah enam meter persegi atau 0.006 kilometer persegi.
Jika terdapat 30,000 buah lori, ia bersamaan dengan 180 kilometer persegi iaitu hampir menyamai luas 22 padang bola sepak berukuran antarabangsa.
Dalam tempoh lima hari sahaja ia boleh menutupi keseluruhan negeri Perlis yang berkeluasan 810 kilometer persegi.
Statistik dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam menunjukkan bagi 2008 sahaja, jumlah sampah domestik bagi Kuala Lumpur dan Selangor adalah sebanyak 1,841,372 tan.
Jumlah itu terus meningkat kepada 1,919,529 tan sampah pada 2009. Trend peningkatan itu terus berlaku memandangkan pertambahan isi rumah termasuk kehadiran pendatang asing yang kini dianggarkan berjumlah tiga juta orang.
Malangnya, masih ramai rakyat negara ini tidak memandang serius mengenai kepentingan membuang sampah serta mempraktikkan kitar semula bagi menjaga kebersihan alam sekitar.
Sebagai contoh, sekiranya terdapat 3,000 orang membuang plastik pembungkus gula-gula pada satu-satu masa, ia boleh menutupi sebuah gelanggang badminton.
Dalam masa sejam sahaja, ia mampu memenuhi sebuah padang bola sepak. Bagaimana jika seminggu, sebulan dan seterusnya setahun?
Masalah ini boleh dielakkan jika masyarakat sedar perlunya mereka membuang sampah di tempat yang disediakan bagi menjaga kebersihan apatah lagi plastik merupakan bahan yang sukar untuk dilupuskan.
Justeru setiap individu perlu mengetahui cara untuk mengurangkan pembuangan sampah dengan menjalankan aktiviti kitar semula.
Mahatma Gandhi pernah berkata: ''Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita tetapi meminjamnya daripada generasi yang akan datang".
Maka, jangan kecewa jika kegagalan menjalankan tanggungjawab, membuka ruang kepada generasi akan datang menyalahkan kita.