'Siapa kata tak boleh'
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
2011/05/18
KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa berkemungkinan acara antarabangsa yang dianjurkan Malaysia akan dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada masa depan mendapat reaksi positif pelbagai pihak. Malah, mereka berpendapat kebimbangan mengenai ketiadaan kemudahan logistik seperti bahan terjemahan untuk peserta dari negara luar yang menghadiri acara berkenaan seperti disuarakan Muhyiddin, hakikatnya boleh diatasi.
Pengarah Urusannya, Mohd Khair Ngadiron berkata, ITNM tiada masalah mendapatkan khidmat jurubahasa yang berkemampuan menterjemahkan pelbagai bahasa termasuk menggunakan khidmat pelajar Malaysia yang sedang menuntut di luar negara.
“Pengendalian majlis antarabangsa dalam bahasa Melayu sepenuhnya boleh dan pernah dilaksanakan pada majlis pelancaran terjemahan novel, Nyawa di Hujung Pedang, di Kota Buku Paju, Korea Selatan pada Mei tahun lalu.
“ITNM menyokong pelaksanaan perkara ini kerana ia adalah langkah yang baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi.
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani pula berpendapat, pelaksanaan perkara berkenaan mungkin akan menimbulkan perasaan janggal pada mulanya, tetapi ia ada dilakukan di negara lain.
“Keadaan itu adalah suatu yang amat lumrah di negara luar yang sememangnya memberi penghormatan tinggi terhadap bahasa negara sendiri seperti di Perancis, Russia, China, Korea, Jepun dan Indonesia,” katanya.
Kamal berharap pelaksanaan majlis dalam bahasa Melayu bukan saja membabitkan dalam ucapan alu-aluan, tetapi juga ucaptama dan semua kertas kerja dengan menyediakan khidmat terjemahan serentak.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz pula melihat sudah tiba masanya Malaysia mempraktikkan perkara berkenaan kerana ia sudah lama dilakukan negara lain bagi memperkasakan bahasa mereka.
“Peranan ITNM boleh dimanfaatkan bagi melaksanakan perkara ini kerana institut berkenaan bukan hanya boleh menterjemahkan sesebuah buku, malahan menyediakan khidmat penterjemahan bahasa asing.
“DBP akan memberi sokongan bagi melaksanakan perkara ini dengan melakukan usaha berterusan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia mahupun warga asing,” katanya.
No comments:
Post a Comment