Minda Pengarang: Perubahan sikap, minda jayakan Malaysia Inovatif
2011/04/21
ISTILAH inovasi atau reka cipta bukan lagi perkara baru. Ia sudah banyak diterapkan pada sektor industri, perkhidmatan awam, institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah. Cuma, pelaksanaan dan sasaran meningkatkan program inovasi tidak menyerlah dan kurang berkesan. Inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri terutama membabitkan sektor awam dan IPT tidak menunjukkan kejayaan memberangsangkan. Kebanyakan hasil R&D hanya tinggal di atas kertas atau sekadar menerima anugerah tertinggi pada peringkat antarabangsa, tetapi tidak mendapat nilai komersial sewajarnya. Kita yakin pengumuman 23 inisiatif oleh Datuk Seri Najib Razak bagi menjana kekayaan baru dan kesejahteraan rakyat melalui inovasi dapat memberi nafas baru kepada bidang reka cipta, seterusnya menjana pendapatan kepada negara. Perdana Menteri ketika menyampaikan taklimat media berkaitan Inisiatif Penjanaan Kekayaan Baru dan Pembangunan Ekosistem Negara Unit Inovasi Khas (UNIK) kelmarin, menyifatkan pengumuman itu sebagai Pelancaran Inovasi yang bertepatan dengan visi menjadikan negara sebagai Malaysia Inovatif.
Inisiatif itu masing-masing membabitkan lima projek pewujudan kekayaan dengan mencungkil khazanah negara, lapan projek universiti awam daripada Pencarian Harta Intelek serta 10 projek inovasi ekosistem. Pengumuman itu juga selari dengan matlamat kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menggunakan inovasi sebagai asas membina Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dan selepasnya. Dianggarkan keseluruhan saiz pasaran global projek inovasi ketika ini bernilai RM316 bilion.
Jumlah ini bukanlah kecil. Adalah amat merugikan jika kita tidak mengambil bahagian dan peluang meraih keuntungan daripada projek seumpamanya. Kita percaya melalui inisiatif itu, ia bukan saja dapat menjana pulangan lumayan kepada negara, malah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan pada masa sama meningkatkan kreativiti serta pemikiran inovatif dalam pelbagai bidang.
Kita yakin dengan inisiatif ini, kumpulan penyelidik pada setiap peringkat akan meningkatkan kualiti penyelidikan masing-masing kerana mereka sedar inovasi yang terbaik sudah pasti mendapat tempat dan pengiktirafan sama ada daripada pihak kerajaan, individu mahupun industri. Kita berasa gembira apabila melalui inisiatif itu juga kerajaan mengenal pasti sejumlah 113 projek IPT awam yang berpotensi dikomersialkan dalam fasa pertama.
Kita berharap lebih banyak lagi projek akan dikenal pasti, termasuk yang sebelum ini hanya dilihat sekadar kajian biasa, walaupun mempunyai nilai komersial yang tinggi. Inovasi adalah kemampuan untuk kita mencipta sesuatu yang hebat daripada bahan yang ada. Pada dasarnya inovasi tidak hanya berkaitan sains dan teknologi (S&T) atau mereka cipta peralatan baru, tetapi mempunyai erti lebih besar kerana ia bermaksud perubahan dalam meningkatkan kualiti kehidupan manusia sejagat. Apapun, cabaran paling besar bagi merealisasikan program inovasi di negara ini ialah untuk mengubah minda rakyat terhadap bidang ini dan sejauh mana mereka sanggup berubah.
Oleh itu, semua sektor perlu memainkan peranan masing-masing sama ada kerajaan, industri dan pendidikan dalam menggerakkan negara menuju sebuah negara inovatif. Kita percaya hanya dengan perubahan sikap dan minda rakyat, usaha merealisasikan Malaysia Inovatif akan menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment