Wednesday, March 30, 2011

Budaya


Imperialisme bahasa Inggeris menghakis jati diri nasional
Oleh Teo Kok Seong
bhnews@bharian.com.my
2011/03/30

BI sepatutnya jadi sumber ilmu dianggap simbol prestij


TOHMAHAN terhadap pencinta bahasa Melayu, sama ada mahasiswa, pensyarah mahupun sesiapa saja yang memiliki rasa bangga, sayang dan setia terhadapnya, sebagai golongan fanatik, bukan saja tidak tepat, malah tuduhan melulu itu tidak sensitif langsung kepada sentimen nasionalisme Melayu, yang menjadi asas kepada nasionalisme Malaysia. Memburukkan lagi keadaan, prasangka begini datang dari kaum Melayu sendiri, di kalangan pemimpin pula, untuk menyelar pencinta bahasa Melayu yang ingin melindungi warisan Melayu ini, yakni bahasa leluhur mereka daripada dikuasai bahasa Inggeris yang lebih berprestij.

Sehubungan itu, pencinta bahasa Melayu bukan fanatik yang terlalu taksub sehingga tidak berpijak di bumi nyata dalam hal penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini. Mereka tidak sekali-kali menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia dan bahasa ibunda zaman globalisasi.

Malah, mereka ikut menyarankan keperluan menguasai bahasa ini dengan sebaik mungkin oleh rakyat. Ini dilakukan agar rakyat tidak ketinggalan dalam tuntutan kepenggunaan tempatan dan pasaran antarabangsa yang diidentifikasikan dengan bahasa Inggeris.

Nilai pragmatik bahasa Inggeris di Malaysia dan juga di merata tempat di dunia, adalah sentiasa tinggi. Dengan ini, pelbagai usaha diperkenal untuk memajukannya. Bagaimanapun, dalam keghairahan mempertingkat penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris, kaedah pembelajaran didapati mempunyai impak bukan saja atas jati diri linguistik rakyat, tetapi juga terhadap jati diri nasional.
Justeru, kaedah yang tidak sesuai didapati boleh mencabar kejayaan bahasa negara di sesebuah tempat itu, sama ada untuk tujuan penyatuan mahupun kemajuan.

Sesungguhnya julat kaedah pembelajaran ini adalah luas. Pada satu penghujung, mereka yang mempelajarinya didapati tidak pun teruja walaupun ia bahasa yang hebat. Dalam kes begini, masyarakat Jepun secara umumnya didapati tidak memperlihat rangsangan berlebihan ketika mempelajari bahasa Inggeris.

Dalam hal ini, pelajar Jepun menguasai sistem bahasa Inggeris sebaik mungkin, sama saja seperti yang berlaku ketika mereka mempelajari mata pelajaran lain. Dengan kata lain, bahasa Inggeris tidak dipelajari dengan minat dan semangat yang berkobar-kobar sehingga boleh mempengaruhi pemikiran dan sikap mereka sebagai orang Jepun.

Hal sebaliknya berlaku pada satu penghujung lain. Golongan elit di sesetengah negara didapati mempelajari bahasa Inggeris dengan penuh teruja. Mereka didapati hanya boleh berbicara dengan baik apabila menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Disebabkan mereka tidak fasih ketika menggunakan bahasa negara sendiri, mereka bukan saja dianggap sebagai orang asing di bumi sendiri oleh rakyat jelata. Tetapi lebih mengecewakan ialah mereka tiada jati diri etnik dan nasional pada diri mereka.

Di antara dua penghujung ini, wujud keadaan yang memperlihat pelbagai cara bahasa Inggeris menceroboh lalu mengubah jati diri etnik sesetengah kaum dan juga jati diri nasional di beberapa negara. Impak begini berlaku di Singapura yang mana sebilangan besar belia Cina dilaporkan menyesal dilahirkan sebagai orang Cina. Mereka ini yang dari segi budayanya bukan lagi Cina, merungut bahawa mereka sepatutnya dilahirkan sebagai orang Barat.

Jati diri sedemikian sudah tentu tidak unggul untuk jati diri etnik Cina. Ia juga tidak ulung untuk mewakili jati diri nasional republik itu yang ingin menonjol sistem nilai Asia dalam bentuk kepelbagaian budaya Cina-Melayu-India.

Sebetulnya kaedah pembelajaran bahasa Inggeris itu amat penting dalam usaha warga dunia menguasai bahasa dunia yang penting ini. Perkara inilah yang menjadi kebimbangan pencinta bahasa Melayu agar penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini berlaku atas landasan yang tidak boleh sekali-kali menyebabkan bahasa Melayu terpinggir di tanah air sendiri.

Landasan itu adalah kepentingan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan dan arena antarabangsa. Berlandaskan kepercayaan dan kefahaman begini, kaedah pembelajaran bahasa Inggeris perlu dihadkan, pertamanya kepada peri pentingnya sebagai bahasa sumber ilmu. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris perlu dipelajari sebaik mungkin untuk memahami kandungan ilmu yang rata-rata ditulis dalam bahasa Inggeris.

Pemahaman dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu ini kemudian diungkapkan semula dalam bahasa Melayu selaku bahasa ilmu. Ini bukan saja cara yang amat nasionalistik sifatnya untuk kita membina peradaban dan tamadun di Malaysia. Tetapi ia juga seiringan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu-Memperkukuh Bahasa Inggeris.

Dasar ini adalah dasar sosial penting untuk pembentukan dan pengekalan jati diri nasional di Malaysia, selain menangani persaingan antara bahasa negara ini dengan bahasa antarabangsa yang penting itu, secara bestari.

Seterusnya bahasa Inggeris dipelajari kerana ia adalah bahasa antarabangsa paling penting. Dengan penguasaannya rakyat Malaysia apabila perlu berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa, sudah tentu dapat menggunakan bahasa pengantar ini dengan berkesan sebagai medium komunikasi. Ini dapat dilakukan ketika mengendalikan hubungan antarabangsa, selain terbabit dalam perdagangan dan perjalanan antarabangsa.

Inilah kaedah pembelajaran terbaik untuk melindungi bahasa Melayu daripada dikuasai oleh bahasa Inggeris. Sehubungan itu, kita perlu memastikan bahasa Inggeris di Malaysia tidak dipelajari atas landasan kekuasaan bahasa Inggeris. Ini bermakna kita tidak boleh mempelajarinya kerana kuasa dan prestijnya dalam pelbagai bentuk imperialisme. Antaranya adalah imperialisme budaya yang meliputi media, pendidikan, sains dan teknologi.

Apabila bahasa Inggeris dipelajari atas landasan ini, minda dan kehidupan rakyat Malaysia, akhirnya ditakluki. Penaklukan ini antaranya mewujudkan keadaan yang memperlihat rakyat benar-benar taksub bahawa bahasa Inggeris saja yang mampu memajukan negara, selain menyatupadukan rakyat berbilang kaum. Oleh itu ia perlu digunakan untuk mengendalikan hal yang menyangkut semua aspek kehidupan yang maju sifatnya. Antaranya pendidikan, urus tadbir negara, perundangan dan kegiatan budaya tinggi lain.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)



Kesihatan


Rumpai ganti garam
Oleh Osman Lisut
manlee@nstp.com.my
2011/03/30

 PROF DR SUHAILA  menunjukkan estrak rumpai laut (cardio mate) dan kapsul rumpai laut.
PROF DR SUHAILA menunjukkan estrak rumpai laut (cardio mate) dan kapsul rumpai laut.
Penyelidik UPM hasil KardioMate atasi masalah kesihatan 

SERDANG: Selepas penyelidikan selama sembilan tahun dengan geran berjumlah RM500,000, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan produk alternatif kepada garam.
Dinamakan KardioMate yang dihasilkan daripada rumpai laut dan darat, ia didapati memberi manfaat kesihatan kepada pesakit kardiovaskular (CVD).
KardioMate juga sesuai untuk semua pengguna berusia empat tahun ke atas, ter-utama bagi penghidap tekanan darah tinggi serta masalah kesihatan lain seperti obesiti, diabetes, kanser, tiroid dan kolestrol tinggi. 

Penyelidik Institut Biosains, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed, berkata KardioMate mempunyai ciri antioksida yang tinggi, kandungan natrium yang rendah serta kaya dengan serat dan mineral penting seperti magnesium, kalsium, kalium, iodin, zink, kuprum dan selium. 

“Menerusi kajian terhadap haiwan di makmal, KardioMate didapati mengawal tekanan darah yang berlebihan, membantu mengurangkan berat badan serta melindungi mata, hati, jantung, ginjal, tulang, kulit, otak dan saluran darah. 

“Selain itu, ujian makmal juga menunjukkan ia berjaya membunuh kanser sel manusia terutama kanser payudara,” katanya pada sidang media Putra Cipta di UPM, semalam. Hadir sama Pengarah Institut Biosains UPM, Prof Dr Fatimah Yusof. 
Dr Suhaila berkata, KardioMate mempunyai aktiviti antimikrobial yang membantu melambatkan kerosakan makanan, pada masa sama merencatkan kenaikan gula dalam darah serta mengawal tekanan darah berlebihan. 

“Berbanding garam biasa, KardioMate memiliki ciri antioksida yang baik untuk kesihatan dan kesegaran makanan. Selain garam alternatif, ia boleh dijadikan sebagai perasa masakan, sos, snek atau dicampur dalam aiskrim dan minuman. 

“Serat rumpai laut ini juga boleh dijadikan bahan kosmetik dan krim topikal memandangkan antibodi yang dihasilkannya sama seperti gamat yang kini luas dikomersilkan. 

“Saya berharap ada pihak industri akan bekerjasama dengan UPM Holdings mengkomersilkan rumpai laut ini. Saya mencadangkan ia dijual pada harga RM8 bagi setiap botol 80 gram. Walaupun agak mahal berbanding garam biasa, KardioMate sesuai untuk golongan berisiko,” katanya.



Monday, March 21, 2011

Kesihatan


Tidak perlu terlalu panik





Profesor Dr. Muhaya Mohamad menjelaskan, kebimbangan yang melampau boleh menjejaskan kesihatan mental dan menganggu aktiviti harian.
Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa bertenang dan tidak terlalu memikirkan masalah radiasi kerana kerajaan sudah melakukan persiapan untuk memantau hal ini.
"Seharusnya orang ramai mengambil iktibar perkara ini. Bukan terlalu memikirkan pencegahan yang perlu diambil tetapi persediaan mental amat perlu. Misalnya, kita melihat rakyat Jepun kehilangan ahli keluarga mereka. Kita perlu menghargai ahli keluarga bermula dari sekarang. Dalam hal ini, kita menyaksikan kerajaan berusaha untuk memantau keadaan dan akan memberi maklumat dari semasa ke semasa," katanya yang sering diundang untuk memberi motivasi di televisyen dan radio.
Dalam pada itu, setiap individu boleh mendapatkan panduan pencegahan radiasi untuk mengurangkan kebimbangan.
Dr. Muhaya turut menasihatkan orang ramai tidak mengabaikan urusan harian termasuk rutin penjagaan kesihatan yang biasa dilakukan semata-mata takutkan radiasi.
"Mungkin selepas ini orang ramai takut bersenam di luar rumah kerana takut terkena kesan pencemaran radiasi.
Selagi belum ada maklumat yang tepat, masyarakat tidak perlu terlalu panik dan bimbang sehingga menjejaskan kesihatan mental," ujarnya.
Kesejahteraan mental , kestabilan emosi, kemantapan sahsiah dan personaliti, kecergasan fizikal, serta perhubungan sosial yang positif amatlah penting untuk menjalani kehidupan yang benar-benar sihat.
Fenomena ini secara logiknya adalah sejajar dengan definisi kesihatan seperti mana yang dinyatakan oleh World Health Organization atau WHO, iaitu health is a state of complete physical, mental and social well being and not merely the absence of disease or infirmity.
Definisi ini sebenarnya memberitahu kepada kita bahawa untuk menjadi seorang individu sihat, kita perlulah sihat dan sejahtera dari segi mental dan fizikal. Kesihatan mental memerlukan kita memiliki pandangan dan sikap yang positif dan proaktif terhadap diri sendiri serta orang lain dalam perhubungan di samping memiliki sikap yang positif terhadap persekitaran kita.

Thursday, March 17, 2011

Bahasa


Nilai semula penggunaan bahasa Melayu di sektor awam, swasta

Muhyiddin Yassin, Dr. Rais Yatim, Datuk Maglin Dcruz (kiri), Joseph Salang Gandum dan Kamaruddin Siaraf memegang bola kaca semasa merasmikan Pembudayaan Bahasa di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu kaedah perlu dirangka bagi menilai tahap pencapaian dalam penggunaan bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan swasta untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum dalam era kepimpinan negara yang menekankan kepada Indeks Prestasi Utama (KPI).
Penilaian itu, jelas beliau, menjurus kepada tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dengan diberi keutamaan dan status yang sewajarnya.
"Sebagai contoh dalam urusan surat menyurat, pengendalian mesyuarat, ucapan dan perbincangan.
''Selain itu, risalah dalam menyampaikan maklumat organisasi kepada masyarakat bagi tujuan promosi dan publisiti juga sewajarnya mendahulukan bahasa Melayu," katanya.
Beliau berucap merasmikan Program Pembudayaan Bahasa anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan di Kompleks Kraf Tangan, hari ini.
Hadir sama, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.
Muhyiddin menambah, bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi benteng bagi memperteguh jati diri bangsa.
Ini kerana menurut beliau, suasana dan persekitaran yang mewujudkan bahasa Melayu ditunjangi dengan nilai kesantunan yang tinggi dan budaya ketimuran.
"Terdapat banyak nilai baik di dalamnya yang boleh kita jadikan panduan dan pedoman," katanya.
Muhyiddin berkata, globalisasi dan ledakan teknologi maklumat hari ini telah melahirkan dunia tanpa sempadan dan sekatan.
Interaksi manusia, jelas beliau, menjadi semakin luas dan pantas melalui bukan sahaja secara bersemuka, atas talian malah di alam siber.
"Kita juga seharusnya tidak ketinggalan dan perlu seiringan dengan perubahan yang berlaku dan jangan sesekali berundur ke belakang," katanya.
Menurut Muhyiddin, situasi hari ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu yang mana unsur-unsur keunikan serta keagungannya menjadi longgar, rapuh dan mudah dicemari kerana dicampur aduk penggunaannya dengan bahasa-bahasa lain sewenang-sewenangnya.
Pencemaran bahasa itu, katanya, sedikit sebanyak telah menghakis identiti asli bahasa Melayu dan rasa hormat terhadap bahasa Melayu turut pudar kerana dicampur aduk mengikut selera dan kehendak hati.
"Ledakan ini telah menjadikan bahasa Melayu semacam berada di belakang berbanding bahasa-bahasa lain," katanya.
Akibatnya kata Muhyiddin, kelangsungan bahasa Melayu mendepani zaman sekarang melalui saat yang sangat getir.

Utusan online 17/3/2011